Ular Berkata-kata


UKM adalah salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang berjaya mendidik pelajarnya dalam bidang perubatan. Sejak ia mula beroperasi pada tahun 1970 dahulu spesimen haiwan daripada kumpulan yang hidup atau yang telah diawet menjadi bahan ujikaji makmal yang tidak asing lagi.

Sesuai dengan hasrat itu, sebuah rumah haiwan dan juga muzium zoologi diujudkan untuk kepentingan kajian pelajar. Antara kebanyakan haiwan yang dibela untuk makmal ialah arnab, tikus, mencit, hamster dan gerbil. Haiwan-haiwan yang diawet terdiri daripada kumpulan batu karang, ikan-ikan air tawar dan air masin, serengga, burung dan mamalia.
Apa yang menjadi kenangan abadi pada penulis ialah peristiwa ketika salah seorang kakitangan di bahagian makmal Sains Hayat menangkap ular dan menyimpannya di Rumah Haiwan. Ular sawa ini agak besar dan panjangnya kira-kira 3 meter.

Memang benar dalam AlQuran ada menyebut bahawa haiwan seperti unta dijadikan oleh Allah ada manfaatnya kepada manusia. Persoalannya, apakah ular ini khususnya ada manfaatnya kepada pelajar UKM di Bahagian Sains Hayat?

Yang lebih merungsingkan ialah apabila (selepas 1 bulan) ia mula tidak lagi mahu menjamah makanan (arnab dan tikus) yang diberikan. Penulis membuat andaian mungkin tempatnya tidak sesuai iaitu dalam sangkar sebesar 2'x2'x2' sahaja besarnya. Ini merupakan suatu penganiayaan kepada ular ini kerana ia tidak dapat meregangkan badanya.

Kebimbangan ini terus memuncak, apabila penulis mula bermimpi yang ular ini marah dan seolah-olah mahu dilepaskan. Esuknya, apabila pergi ke tempat kerja, didapati pada kepalanya ada tanda luka seperti terkena besi ketika cuba memboloskan dirinya daripada sangkar tersebut.

Malam kedua juga mendapat mimpi yang sama, tetapi penulis tidak mengambil apa-apa tindakan untuk membebaskanya.

Hati mula bertanya, "Adakah ular ini jelmaan Jin dan adahkah mimpi aku ini benar?" Yang pasti penulis tidak setuju ular ini disimpan, kerana saiz sangkarnya tidak sesuai dengan badannya.


At-Tirmizi dan An-Nasa'i meriwayatkan dari Abu Said, "Sesungguhnya di Madinah ada Jin yang masuk Islam. Jika kamu melihat ular dari golongan ini, maka ucapkan azan 3 kali, dan jika kamu melihat yang lebih baik, maka bunuhlah ia".

Persoalan kedua ialah berkaitan mimpi yang penulis alami. Pengalaman sebelum ini, sedikit sebanyak dalam kes-kes yang tertentu ada kebenaranya.

Dari Abu Hurairah bersabda Rasulullah saw, "mimpi itu 3 bahagian iaitu berita gembira dari Allah, apa yang berlaku dalam hidup seharian, dan mimpi buruk yang menakutkan dari syaitan". (Riwayat Ahmad).


"Mimpi orang yang soleh (perkataannya benar) itu (bukan nak beritahu penulis ni orang soleh) merupakan sebahagian dari 46 bahagian sifat kenabian. (Hadis sahih Riwayat Bukhari).

Pada malam ketiga pula, penulis terus bermimpi lagi perkara yang sama, dan kali ini seolah-olah penulis memahami kata-kata ular itu yang meminta penulis melepaskan, kerana katanya ada temannya diam didalam paya berhampiran dengan Rumah Haiwan tersebut. Penulis juga ditunjukkan dalam mimpi itu dimana ular yang seekor lagi itu berada.

Pada keesukkanya penulis terus bertemu dengan rakan sekerja yang menjaga ular tersebut dan memberitahunya sekiranya benar apa yang penulis mimpikan, maka penulis akan melepaskan ular ini dan akan bertanggungjawab sekiranya pihak universiti membuat sebarang pendakwaan.

Akhirnya, apa yang dimimpikan menjadi kenyataan, tanpa berlengah lagi terus penulis memerdekakan ular tersebut.

Melalui kisah ini, penulis ingin menasihati semua pembaca, supaya tidak membela apa-apa haiwan tanpa tujuan yang diizinkan oleh syarak. Sekiranya ada keperluan dan manfaatnya, maka hendaklah memberi sedikit kebebasan untuknya bergerak. Juga hendaklah berhati-hati, supaya tidak membunuh sebarang haiwan tanpa sebab, kerana jin kebanyakkanya boleh menjelma menjadi haiwan seperti ular, anjing dan burung, yang kebiasaanya berwarna hitam. Semoga kisah ini ada manfaatnya untuk kita semua.

1 ulasan:

m ali berkata...

Terima kasih Bujang Susah yang dah buat saya senang dan dapat menggunakan fungsi "Read more".