Beriman Tetapi Dipandang Hina

Adalah menjadi lumrah kehidupan manusia yang berpangkat disanjung dan yang miskin diketepikan. tetapi bagi Islam yang miskin, kaya atau berpangkat sekiranya ia bertakwa dan menjadi pejuang agama Allah akan disanjung oleh para malaikat dan juga sekalian makhluk Allah.

Semua manusia juga yakin bahawa Allah yang berkuasa di atas setiap sesuatu dan setiap kali selepas solat memohon keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Semasa kita memasang pelbagai bentuk dan ciri keselamatan bagi rumah dan harta kita, apakah itu dilakukan sebagai ikhtiar atau kerana kurangnya keyakinan kita kepada pemeliharaan daripada Allah swt.? Ini semua hanya boleh dijawab oleh iman dan hati kita sendiri.

Pada satu hari, semasa melakukan ibadat tawaf sunat, kira-kira dalam pusingan ketiga, hampir dengan Hijr Ismail, penulis terpandang seseorang dihadapan yang juga sedang tawaf tetapi kelihatannya bergerak agak perlahan  dan mungkin kerana cacat anggota kakinya.
Hati berdetik,  "Berapa lama agaknya orang ini akan selesai".

Penulis terus mendahuluinya dengan pergerakan langkah yang biasa. Namun tanpa disangka, selepas melepasi garisan Hajarul Aswad, tiba-tiba kelihatan orang yang sama sudah berada dihadapan. Sepatutnya dia mungkin baru sampai ke penjuru Yamani. Tak mungkin dia mengundur kebelakang.


Inilah kebiasaanya yang berlaku, sebagai manusia biasa, kita akan mengukur sesuatu berasaskan kepada keadaan fizikalnya. Semasa memandu contohnya, kalau menaiki kereta baru, kita yakin akan selamat dan cepat sampai tanpa risau akan ada kerosakan atau halangan berbanding kereta lama.

Orang yang berpelajaran rendah pula dijangka hidupnya tidak akan bahagia. Inilah perasaan manusia biasa. Allah telah memberi peringatan yang tidak ternilai ketika itu supaya penulis membetulkan kembali hati ini supaya tidak menjadikan luaran dan fizikal itu menjadi ukuran kepada pencapaian kehidupan didunia ini dan amal ibadat seseorang untuk akhirat.

Rasulullah saw sendiri pernah memperkenalkan kepada sahabat seseorang yang menjadi ahli syurga. Dengan keinginan yang begitu tinggi, salah seorang sahabat baginda cuba pergi mengintip amalannya. Diringkaskan cerita amalan orang ini sangat biasa dan tiada yang melebihi amalan sahabat-sahabat yang lain. Cuma dia hanya mengatakan tidak ada perasaan dendam dan sentiasa memaafkan kesalahan orang lain setiap kali sebelum tidur.

Benarlah Firman Allah yang bermaksud, "Allah berbuat sesuatu apa yang Ia Kehendaki". Manusia hanyalah dituntut berikhtiar dan berusaha dan seterusnya berserah kepada Allah akan hasilnya setelah berdoa dengan hati yang yakin bahawa Allah sentiasa melihat dan sentiasa mengetahui apa yang kita lakukan.

زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُواْ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُواْ وَالَّذِينَ اتَّقَواْ فَوْقَهُمْ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ وَاللّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

 Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas. (Surah Al Baqorah - ayat 212).

1 ulasan:

ummuaimi berkata...

Salam. Saya bersetuju sangat bahawa orang sering melihat perihal luaran dan seolah-olah tidak yakin dengan Allah. Contohnya anak-anak yang belajar di sekolah agama selalu di ingatkan bila habis belajar susah nak cari kerja dan nak cari makan.Mereka sering dipandang rendah. Yang memandang rendah ini tidak yakin dengan rezeki itu datangnya dari Allah.