Pokok Tunduk Kepada Hati yang Tunduk Kepada Allah

Pak Mat Perang - Namanya sahaja sudah menggambarkan seorang yang istemewa. Berasal dari Benut Johor. Pernah bertugas di Felda. Tubuhnya agak rendah, tetapi memiliki susuk badan yang sasa. Beliau terkenal dikalangan pelbagai peringkat jawatan dan kedudukan masyarakat Melayu.

Orangnya bersifat penyabar dan peramah serta sentiasa mengambil berat akan masaalah yang dihadapi oleh orang ramai. Dalam usianya yang sudah menjangkau hujung 60an, beliau mampu lagi menunggang motorsikal besarnya keseluruh pelusuk Malaysia untuk memberikan bantuan kepada orang yang memerlukannya.

Pada awal tahun 70an dahulu beliau terkenal sebagai ahli sarkas yang mampu menghiburkan penonton dengan lagak ngerinya seperti badannya digilis oleh kenderaan berat sementara beliau berbaring di atas pecahan kaca. Beliau juga mampu membengkokkan besi dengan lehernya.
Untuk menceritakan kebolehan dan keistemewaan Pak Mat Perang, tidak cukup dalam ruang yang terhad ini. Penulis sendiri pernah menyaksikan dan menguji sendiri kebolehan Pak Mat dimana beliau mampu meringankan badanya sehingga mudah kita mengangkatnya dan juga memberatkannya sehingga tidak langsung boleh digerakkan.

Suatu hari Pak Mat menaiki bas menuju ke Kelantan atas urusan pengubatan. Biasanya beliau berjalan seorang diri tanpa membawa isteri atau anaknya. Dalam perjalanan melalui Kuala Lipis menuju ke Gua Musang, hujan turun agak lebat juga. Cuaca pula bertambah gelap.

Tiba-tiba bas yang dinaikinya berhenti. Setelah ditinjau oleh pemandu, satu pengumuman dibuat menyatakan perjalanan tergendala sebentar kerana ada kayu besar tumbang merintangi jalanraya. Penumpang mula rasa gelisah. Bagaimanapun Pak Mat nampak tenang serta cuba turun untuk melihat apa yang berlaku.

"Pakcik naik semula ke bas, tak ada apa yang boleh dibuat. naik, naik". Bentak pemnadu bas yang berkenaan.

Dengan senyuman Pak Mat menyahut, " Takpa, saja nak tengok kejap apa yang berlaku."

Pemandu bas terus naik semula kedalam bas. Tidak berapa lama selepas itu diikuti pula oleh Pak Mat. Pak Mat meminta pemandu untuk meneruskan perjalanan. Pemandu bas agak terkejut apabila melihat batang kayu yang besar tadi sudah berada ditepi jalan.

Dengan perasaan hairan dan bercampur malu pemandu bas meneruskan perjalanannya. Perasaan ingin tahu mula bermain dikepalanya. Akhirnya pemandu bas ini cuba berusaha mencari semula Pak Mat dimana tempat ia turun.

Apa yang ingin penulis sampaikan ialah kehidupan Pak Mat ini amat sederhana. Semua golongan boleh mendekatinya. Sesiapa sahaja boleh belajar dan bertanya apa yang ingin dipelajarinya. Tetapi tiada siapa yang sanggup beramal seperti yang diamalkan oleh Pak Mat.

Puasa setiap hari kecuali pada hari-hari yang diharamkan. Berbuka puasa dengan roti canai serta daging dan buah-buahan sahaja. Setiap malam bangun solat dan berwirid serta membaca Al Quran. Begitu juga selepas solat subuh. Benarlah peribahasa orang tua-tua - resmi padi, makin berisi makin tunduk. Sebaliknya resmi lalang, makin besar makin menegak. Hidupnya bukan sahaja mengambil banyak baja disekelilingnya tetapi juga daunnya pula boleh mencederakan orang lain.

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَاماً
"Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan." - Surah Al Furqan ayat 63.

Tiada ulasan: