Bagi penulis pula, perkara ini tak dapat dilakukan. Pada masa-masa lapang teringat juga kepada anak-anak yang ditinggalkan. Sesekali mengangkat telefon untuk mendengar suara mereka. Kadangkala ada juga mereka yang membuat panggilan.
Pada suatu hari, iaitu selepas solat zohor, penulis ambil kesempatan untuk makan tengahari bersama isteri. Setelah selesai, dan sambil merehatkan badan, penulis cuba menghubungi anak di kampong.
"Assalaamualaikum, apa khabar? semua adik-adik sihat"
Terus disampuk oleh anak perempuan, "Kenapa ayah lama tak telefon?"
"Eh, mana ada, ayah ada telefon dua hari lepas". Jawapan diberikan untuk menyedapkan hati anak. Perbualan diteruskan seperti biasa.
Setelah selesai berbual dengan anak dan mengemaskan tempat makan, penulis dan isteri terus masuk ke bilik masing-masing.
Sampai dibilik, seperti biasa juga penulis akan mengemaskan pakaian dan menyusun semua peralatan dan kelengkapan harian dikatil sendiri sebelum merehatkan dan melelapkan mata. Semasa mempastikan semua peralatan dan kelengkapan diri tersusun, penulis tidak kelihatan dimana pula letaknya telefon tadi. Puas dicari tidak berjumpa.
Pergi semula kebilik isteri, jawapannya menghampakan juga. Penulis terus meminta isteri mendail nombor telefon tersebut, tetapi tidak juga kedengaran bunyinya. Hati mula rasa resah.
Seperti yang dinasihatkan oleh orang-orang alim, apa jua yang berlaku rujuk kembali kepada Allah, mohon ampun dan mohon dapatkan kembali telefon tersebut. Sejenak kemudian, cuba mengingatkan kembali urutan peristiwa selepas makan. Apa yang dilakukan.
Tanpa berlengah lagi penulis terus bergegas keluar bilik menuju ketempat dimana penulis dan isteri makan sebentar tadi. "Selepas makan, buang sampah kedalam tong sampah. Mungkin ada dalam tong sampah kut" Hati cuba mengagak.
Alhamdulillah, rupanya tekaan tadi betul. Tapi agak mengejutkan, bila pula penulis membuang telefon tersebut kedalam tong sampah.
Namun demikian, penulis yakin bahawa setiap peristiwa pasti ada hikmahnya. Penulis cuba menyorot kembali rentetan peristiwa diatas. Muhasabah terhadap setiap perbuatan dan percakapan.
Memang benar, selama ini semasa di Malaysia penulis berpegang kepada fahaman bahawa tiada 'bohong sunat' kerana Rasulullah tidak pernah berbohong. Semasa peristiwa Rasulullah ditanya tentang adakah orang yang dikejar oleh sipenanya tadi ada lalu dihadapan Rasulullah, Rasulullah menjawab tiada. Walaupun memang ada lalu dijalan tersebut, tetapi bukan dihadapan Rasulullah, kerana Rasulullah telah beralih tempat.
Penulis sedar kembali bahawa penulis telah tidak bercakap benar demi untuk menjaga hati anak tadi. Penulis yakin inilah peringatan dari Allah bahawa bercakap benar itu dituntut oleh Islam walaupun pahit bagi diri sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan