Allah swt memberi jaminan bahawa sesiapa yang berada di Masjidil Haram akan berasa aman dan tenteram. Namun apakah ini benar-benar berlaku? atau Allah tetap akan menguji iman hambaNya supaya tiada ketakutan kecuali kepada Allah sahaja?
Pada tahun 1999 yang lalu berlaku satu peristiwa yang diluarjangka yang menyebabkan para jemaah ada yang bertempiaran lari.
Ketika itu penulis bersolat di tingkat satu Masjidil Haram. Selepas selesai mendidirikan solat zohor berjemaah, sambil duduk menunggu membuat amalan sunat yang lain, penulis terdengar bunyi bising seolah-olah bunyi motor chiller untuk sistem pendingin hawa yang agak kuat. Penulis cuba mencari dari mana bunyi itu datang. penulis meneruskan pencarian di tingkat bawah.
Para jemaah masih ramai mendirikan solat-solat sunat dan ada yang sedang duduk membaca alquran dan sebagainya. Sekali sekala bunyi itu reda dan ada kalanya bertambah kuat. Lama kelamaan bunyi itu semakin kuat. Alangkah mengejutkan, bunyi yang kuat tadi telah menyebabkan para jemaah cuba lari dan bergerak menuju kehadapan.
Yang menghairankan, yang lari itu bukan hanya orang-orang biasa tetapi juga mereka yang sedang solat. Ada yang sedang solat dan bergerak secara tertib berlindung disebalik tiang dan ada yang terus keluar dari solatnya.
Agak menghairankan bagaimana ini boleh berlaku. Penulis cuba mencuri dengar perbualan para jemaah dan juga bertanya kepada teman sebilik. Rupa-rupanya bunyi tersebut tidak sama kedengaran antara satu sama lain. Antara bunyi yang terdengar ditelinga para jemaah adalah seperti berikut:
Bunyi helikopter yang sedang berlegar diudara.
Bunyi segerombolan asykar yang sedang mara.
Bunyi pacuan tentera berkuda
Semua bunyi tersebut didengar menuju ke Kaabah. Masing-masing membuat pelbagai telahan dan andaian. Ada yang mengatakan kumpulan Jin untuk tawaf dan ada pula mengatakan kumpulan para malaikat.
Yang pastinya, manusia biasa, akan berasa takut kepada sebarang ancaman walaupun berada di Masjidil Haram dan sedang mendirikan solat.
Penulis terus mencari rahsianya, tetapi tiada satu jawapanpun yang meyakinkan. Dan yang pasti juga ialah di perkarangan luar masjidil Haram, di hadapan pintu Raja Abd. Aziz terdapat banyak belalalang bertebaran di atas lantai dan jalanraya. Pekerja masjid cuba membersihkannya.
Pada keesukkanya penulis memerhatikan suasana didalam masjid agak berbeza sedikit. Pengawal masjid mula memarahi dan menghalau jemaah wanita yang bersolat di saf hadapan jemaah lelaki. Mereka dihalau kebelakang. Suasana seolah-olah ada satu kesalahan telah berlaku dan para jemaah diminta untuk mendirikan solat dengan lebih tertib.
Demikianlah antara kenangan abadi yang tidak dapat dilupakan. Lain orang lain iktibar yang akan diperolehi. Semua peristiwa yang berlaku menjadi rahsia dan hanya Allah yang Maha Mengetahuinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan