Ganjaran Diluarjangka



Setelah selesai pemeriksaan bagasi dan paspot di Lapangan Terbang Jeddah untuk pulang ke tanah air, penulis bersama kumpulan jemaah dalam satu maktab beransur keluar dari bilik menunggu untuk naik kapalterbang Arab Saudi Airline (ASA).

Waktu menunggu terasa agak lama. Bagaimana pun mengenangkan kerja haji telah selesai dan hati gembira hendak bertemu kembali dengan anak-anak, masa yang panjang itu tidaklah begitu terasa atau meresahkan.

Setelah penat duduk, angkat punggung dan kaki dilangkah mengintai-intai kalau-kalau ada apa yang berlaku. Beberapa minit kemudian terdengar seperti ada arahan untuk menaiki kapalterbang. Mulailah kumpulan jemaah yang tadinya berselerak mulai membuat barisan untuk masuk ke kapalterbang.

Penulis agak terkebelakang kerana membawa ibu yang agak sudah tua dan agak kurang sihat (masih hidup). Tidak semena mena, lebihkurang lapan orang termasuk penulis ditahan dari menaiki kapal terbang. Penulis mulai menjengah ke satu penjuru dimana terdapat sekumpulan pegawai Tabong Haji dan kakitangan ASA sedang bertikam lidah mengenai hak kerusi yang kosong kerana kematian pemilik tiketnya.

Antara yang difahami maksudnya ialah kakitangan LUTH mempertahankan hak mereka yang telah membayar sepenuhnya semua kerusi. Apabila berlaku kekosongan inilah peluang LUTH menghantar pulang kakitangannya tanpa membuat sebarang bayaran tambahan. Manakala pegawai ASA pula mengatakan kapalterbang ini mereka yang punya dan adalah hak mereka sekiranya kerusi ini kosong.

Akhirnya, pegawai LUTH beralah serta menurunkan kembali pegawai mereka. Apa yang lebih menarik lagi yang ingin penulis sampaikan sebagai itibar ialah sikap insan biasa. Kebanyakkan manusia sekarang ini lebih mementingkan diri sendiri. Akhlak atau sikap mendahulukan yang lemah dan yang tua sudah tidak ada lagi. Dimana-mana pun sentiasa nampak orang berebut-rebut.

Begitulah apa yang berlaku semasa hendak menaiki kapal terbang ini. Dalam hal ini penulis cuba mempraktikkan sedikit tarbiah dari kerja haji ini. Lagipun insyaAllah pastinya tempat duduk itu ada. Dalam pada itu juga hati ini sentiasa mengharapkan yang terbaik. Dengan takdir Allah swt, penulis adalah yang terkhir menaikki kapalterbang, tetapi tanpa disangka dapat tempat duduk baris hadapan (kawasan tempat kaki yang luas). Dengan rasa syukur yang tidak terhingga terasa benar bahawa sekiranya kita mendahulukan dan mengutamakan orang lain, Allah juga akan membalasnya dengan yang lebih baik.

Berbuat baiklah dimana sahaja anda berada. Jadikanlah sikap para sahabat yang kehausan dimedan perang yang mendapat air minum yang sedikit tetapi memberikan kepada sahabat yang lain sebagai contoh suri tauladan akhlak Islam yang mulia.

"Sesungguhnya aku (Rasululullah) diutuskan untuk menyempurnakan akhlak".

Tiada ulasan: