Plan Niaga dari Allah


Apabila anda dalam keadaan susah terutama dihujung bulan, hanya ada wang RM20.00 dalam poket, banyak perkara hendak dibeli, kemudian tidak semena-mena terjumpa wang bernilai RM200.00, adakah ini yang dikatakan ganjaran sepuluh kali ganda? Adakah anda terus mengambilnya atau memulangkan wang tersebut?

Pengalaman ini telah dilalui oleh penulis ketika bekerja di UKM tahun 1973 yang lalu. Gaji bulanan amat kecil. Hujung bulan sentiasa, berjimat cermat dan mengekang nafsu. Tanpa diduga, pada satu masa di tempat kerja, terjumpa wang bernilai RM200.00.

Petikan daripada hadis ke 37 Riwayat Imam Nawawi, menerangkan bahawa "sekiranya dia terlintas melakukan sesuatu kebajikan dan dia melakukannya, Allah akan menulis kebajikan di sisiNya sepuluh (10) kebajikan sehingga 700 kali ganda dan sehingga berlipat ganda yang sangat banyak".

Melalui sedikit pengetahuan ilmu agama yang diperoleh di asrama dan masjid-masjid serta orang tua-tua, berbagai-bagai resolusi dan andaian difikirkan otak untuk memiliki wang tersebut.

"Ini wang jumpa, sepatutnya dipulangkan"

"Aku miskin dan perlukan wang ini, mungkin ini rezeki dari Allah"

"Pastinya orang yang punya wang ini orang kaya, jadi tak perlu dipulangkan"

Berbagai-bagai tafsiran dan fikiran terlintas di hati.

"Lebih baik aku pulangkan, aku boleh dapat satu perlapan daripada RM200.00, tapi kalau dia orang jahil dan tak beri melepas pula."

Keputusan lebih berat tidak mengumumkan dan memulangkannya dengan segera. "Kalau begitu aku beri tempoh 1 minggu, kalau ada orang bertanya baru aku berikan." Otak telah merancang berbagai-bagai perkara hendak dibeli dengan menggunakan wang tersebut. Tempoh diberi semakin hampir.

Akhirnya setelah sampai hari ke enam, ada kawan datang bertanya kalau-kalau ada terjumpa wangnya. Oleh kerana penulis telah berpegang pada janji, wang tersebut dipulangkan semula. Semua angan-angan terbantut, ganjaran satu perlapan juga tidak diperolehi.

Penulis sedar iman penulis ketika itu tidak kuat, sepatutnya terus dipulangkan. Memang benarlah ajaran Rasulullah saw meminta supaya ummatnya tidak menjadi miskin hingga menyebabkan kekufuran.

Kerja berjalan seperti biasa. Selang beberapa bulan selepas peristiwa tersebut, penulis mendapat tawaran untuk bertugas di Cawangan UKM di Limauan Sabah, selama 6 bulan. hati rasa bersyukur dapat melihat negeri orang. Pengalaman untuk mendaki Gunung Kinabalu tidak dilepaskan.

Habis tempoh berkhidmat, kembali semula ke Kuala Lumpur. Tidak disangka-sangka, apabila melihat dalam akaun bank, penulis dapat kumpulkan wang sebanyak RM2,000.00. Terus teringat peristiwa jumpa wang di tempat kerja.

"Eh, sepuluh kali ganda. Adakah ini yang dimaksudkan ajaran Islam kebaikkan yang dilakukan mendapat sepuluh kali ganda ganjarannya?" Apapun tafsiran atau maksudnya Allah jua yang Maha Mengetahui. Inilah antara pelan perniagaan yang kecil nilainya bagi orang mukmin di sisi Allah berbanding dengan pengorbanan nyawa untuk menegakkan Islam.

Yang pasti semua orang Islam akan diuji oleh Allah untuk menentukan tahap iman mereka. Senjata yang paling ampuh sebagai pendinding daripada godaan syaitan ialah melakukan kerja yang tidak bercanggah dengan syara' dan pertimbangan akal yang waras serta hati yang ikhlas.

2 ulasan:

Pak Oncu berkata...

Salam persahabatan,,,,,,,bagus n3 awak ,,,,,,,,,, elok di jadi kan tauladan untuk yg membaca nya,,,,,,,,, !!!

m ali berkata...

Terima kasih pak Oncu. Yang eluk dari Allah dan yg kurang dari saya sebagai manusia.