Kisah rakyat miskin biasanya akan terpapar di muka akhbar atau di kaca TV apabila menjelang sesuatu pilihanraya di Malaysia. Maka terdapatlah banyak keluarga miskin dan keluarga yang diberi bantuan oleh pemimpin yang ada, bakal calon atau calon yang akan bertanding.
Ini menunjukkan kemiskinan tidak dapat dihapuskan secara mutlak dan tidak mungkin boleh ujud kemiskinan sifar. Adakah ini disebabkan kegagalan sistem perlaksanaan zakat? atau kegagalan pihak berkuasa membangunkan rakyat, kerana kebiasaan yang berlaku dalam perlaksanaan pengagihan sebarang kemudahan dan faedah akan mendahulukan parti atau golongan tertentu sahaja.
Penulis sendiri biasa hidup dalam kemiskinan semasa alam kanak-kanak dan juga semasa dewasa. Ayah adalah bekas Asykar Melayu DiRaja zaman British. Selepas tamat perkhidmatan kembali meneruskan kehidupan di kampong. Cuba berusaha sendiri tetapi gagal dan akhirnya bekerja sebagai buruh (pemandu) di Drainage and Irrigation Department (DID) dengan gaji permulaan RM90.00 dan gaji akhirnya sebelum pencen sebanyak lebihkurang RM450.00. Anak yang ditanggung ialah seramai 11 orang.
Makan nasi bercicahkan garam dan bergulaikan tepung adalah perkara biasa. Amalan berhutang di kedai runcit menjadi lumrah. Kehidupan perlu diteruskan, anak perlu dibesar dan diberi pelajaran sebaik baiknya. Pernah arwah ayah terpaksa menjual tanah untuk menanggung adek yang dapat belajar ke luar negara. Biasiswa yang penulis perolehi sebanyak RM20.00 sebulan diberi kepada ibubapa untuk belanja rumah.
Apa yang menjadikan kenangan abadi di hati penulis ialah beberapa peristiwa-peristiwa menarik ketika menghadapi kesusahan yang memerlukan wang. Pada suatu hari dalam perjalanan menuju ke rumah saudara, ayah mengeluh dimana hendak menadapatkan wang untuk membeli susu adek. Selesai sahaja berbincang, selang beberapa langkah kemudian terjumpa wang kertas bernilai RM5.00. Wang ini digunakan untuk membeli susu. Kejadian seumpama ini berlaku sebanyak dua kali.
Apa yang lebih menarik lagi ialah pada suatu hari ketika hendak ke sungai seorang diri, dan semasa menghampiri tebing sungai Perak, penulis memandang ke gigi air dan terpandang sekumpulan wang syiling seolah-olah melayang-layang dipermukaan air. Cuba untuk mendekati dan mengambilnya, hati berasa takut. Penulis memanggil sepupu, dan bapa saudara untuk melihatnya.
Tanpa berlengah lagi mereka terus mengambilnya. Melihat hal itu penulis juga tidak membuang masa lagi dan terus bersama mereka mengutip wang yang entah darimana datangnya. Andaian penulis ketika itu adalah "harta karun". Kedudukan wang siling tersebut daripada permukaan bumi ialah lebihkurang 4 meter. Jumlah semua yang penulis dapat kumpulkan ialah sebanyak lebihkurang 4 tin susu. Dengan wang inilah penulis tukar dengan wang biasa di pejabat pos untuk diguna belanja sekolah.
Beberapa keping wang tersebut masih ada dalam simpanan penulis. Antaranya ialah wang syiling bernilai setengah sen, seperti yang ditunjukkan didalam gambar di atas.
Zaman kini jauh berbeza. Anak-anak jenerasi 'Y' khususnya hidup dalam keluarga yang tidak susah. Apa yang dikehendaki cuba ditunaikan oleh ibu bapa. kebetulan hidup dizaman serba maju, jenerasi ini tidak mampu hidup dalam keadaan susah. Peribahasa "Berakit dahulu berenang ketepian, Bersakit dahulu bersenang kemudian" tidak lagi menjadi panduan. Jika tersalah urus jenarasi ini akan menghadapi masalah dalam kehidupan. Menjadi malas tetapi hendak hidup mewah dengan segera. Sebab itulah konsep perniagaan "untung tanpa kerja dan modal atau menerima pendapatan dari rumah" itu sekarang muncul seperti cendawan tumbuh.
Semua ini untuk memenuhi kehendak jenerasi ini. Kepincangan dalam urusniaga ini hanya boleh dibetulkan mengikut konsep perniagaan dalam Islam. Bagaimana pun kepincangan ini masih boleh dibetulkan sekiranya ada usaha dan penglibatan semua pihak dengan jujur dan ikhlas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan