Pendamping Dilempar Bintang

Awas! sekiranya anak anda kelihatan baik, bijak dan pandai mengubat. Sewaktu kecil dahulu penulis pernah diberitahu oleh orang tua, mengatakan bahawa 'orang bunian' suka kepada manusia yang baik, jujur dan berkulit hitam manis. (gambar hiasan)

Ungkapan ini terlekat difikiran tetapi tidak tersemat dihati. Nak diterima tiada bukti, nak ditolak pula pernah didengari. Kisah berikut ini akan memaparkan dua peristewa yang menggambarkan adanya usaha penguasaan makhluk halus untuk menguasi manusia.

Lebihkurang 10 tahun yang lalu, di Sg Ramal terdengar cerita mengatakan bahawa seorang kanak-kanak sekolah rendah yang malas belajar tetapi mudah lulus dalam peperiksaan. Dia menyatakan bahawa dia didampingi oleh seorang lelaki yang berjubah putih persis seorang yang 'alim serta menawarkan dirinya untuk menemani dan membantunya ketika dalam kesusahan.

Bagaimanapun ibubapanya sedar bahawa ini adalah sesuatu yang luarbiasa dan perlu diatasi segera. Beberapa kali anak tersebut dibawa pergi berubat dan bertemu dengan orang yang bijak pandai. Akhirnya masaalah kanak-kanak ini dapat juga diatasi apabila bertemu dengan seorang ustaz yang tinggal di Teras Jernang, yang dapat mengesan bahawa kanak-kanak ini didampingi oleh Jin Kafir (Kristian) tetapi menjelmakan dirinya kepada kanak-kanak tersebut seperti pakaian seorang 'alim yang beragama Islam.

Satu lagi kisah yang agak berbeza sedikit jalan ceritanya, berlaku kepada anak penulis sendiri, lebihkurang 7 tahun yang lalu.  Anak ini sering mengadu sakit kepala. Seperti biasa, apabila keplanya rasa sakit, dibawalah berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan ubat.

Namun demikian, walaupun ubat telah dimakan tetapi rasa sakitnya tidak pulih sepenuhnya. Ia akan berulang semula. Usaha rawatan tradisional juga dibuat tetapi tiada pula tanda sakitnya itu adalah kesan dari gangguan makhluk halus. Bagaimanapun anak ini ada menceritakan pernah terlihat wajah menyeramkan di atas pokok hadapan rumah dan juga di atas bumbung rumah terutama ketika hendak keluar ke surau.

Pada suatu hari beliau mengadu sakit kepala sehingga penglihatannya menjadi kabur. Tulisan dipapan putih tidak boleh dibaca. Seperti biasa ia dibawa lagi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor mencadangkan supaya dibuat rawatan MRI (magnetic resonance imaging) di Hospital Ampang Putri untuk mengesan sekiranya terdapat punca penyakit didalam otak. Bagaimanapun tiada pula tanda-tanda menunjukkan beliau mengalami sakit biasa.

Anak ini dibawa sekali lagi berjumpa doktor di Klinik Huda untuk mendapatkan pemeriksaan. Doktor telah mencadangkan supaya dibawa berubat secara tradisional. Akhirnya penulis bertawakkal kepada Allah dan mempelawa anak ini membaca surah Yasin bersama-sama. Selang beberapa hari selepas itu, anak ini menceritakan telah mengalami suatu kejadian yang ganjil.

Ia menceritakan ia diganggu oleh suatu makhluk dan cuba lari darinya untuk minta tolong. Kejadian ini berlaku didalam rumah, namun katanya tiada seorang pun yang menyahut panggilannya.

Katanya makhluk ini sebenarnya hendak mendampingi dia. Makhluk ini juga mengaku ia kuat dan boleh membantunya dalam apa sahaja urusan. Alhamdulillah, anak penulis memberi jawapan bahawa "Allah yang Maha Besar".

Sejurus selepas perkataan itu terkeluar dari mulut anak ini, ia nampak cahaya bulan, bintang dan matahari memancar dan membakar tubuh makhluk ini. Selepas kajadian itu anak penulis telah merasa pulih seperti biasa, sakit kepalanya hilang dan penjelmaan itu tidak lagi kelihatan.

Begitulah dalam kehidupan semua manusia, bahawa kita tidak akan terlepas dari ujian Allah swt. dalam keadaan yang termampu oleh kita untuk membuat pilihan. Tetapi sekarang ini manusia sengaja mencari dampingan dari kalangan Jin atau manusia yang dikatakakan boleh membantunya dalam urusan kehidupannya untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan didunia ini.

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاء الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُوماً لِّلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala. (Surah Al Mulk: ayat 5)

Tiada ulasan: