Rahsia Doa Yang Makbul

Allah swt telah menjanjikan barangsiapa yang berdoa kepadaNya pasti diperkenaan. Ini selaras dengan firman Allah yang maksudnya "Serulah kepadaKu nescaya Aku perkenankan".

Bagaimanapun setiap insan, ada sejarah dan pengalamanya tersendiri. Ada yang mengalami secara nyata doa mereka dimakbulkan dan ada pula yang merasainya diberi dalam bentuk yang lain, dan sebaliknya ada juga yang merasakan Allah tidak langsung menyahut seruannya.

Walau apapun tanggapan manusia, semuanya itu adalah dibawah pengetahuan dan kuasa Allah swt jua.

Islam tidak melarang manusia menjadi kaya dan tidak pula menyuruh menjadi miskin, seandainya kemiskinan itu menyebabkan kekufuran.

Dalam kisah lagenda Melayu seperti Si Tanggang, kekayaan yang dimilikinya menyebabkan ia menjadi kufur nikmat dan derhaka kepada ibunya. Kisah para sahabat seperti Tha'labah pula sesudah rezekinya melimpah ruah hasil dari doa Rasulullah saw, beliau mula kurang muncul untuk solat berjemaah.


Dari pengalaman penulis, berdoa untuk kebaikan atau kesejahteraan tidak perlu diungkapkan secara khusus, kerana kita tidak mengetahui apakah perkara atau benda yang boleh memberi kesenangan dan kesejahteraan kepada kita.

Semasa hendak menunaikan Haji Badal untuk seseorang yang telah meninggal dunia, risaunya lebih tinggi dari menunaikan haji sendiri. Oleh itu doa selalu dipanjatkan supaya dapat menunaikan haji ini dengan mudah dan sempurna sertai diredhoi oleh Allah swt.
Semua persiapan berjalan dengan baik dan lancar. Menggunakan tandas di Padang Arafah dan di Mina juga tidak menjadi masaalah. Segalanya berjalan dengan baik.

Bagaimanapun apa yang amat terasa ditunjukkan ialah penulis terpaksa manahan untuk buang air kecil hampir 2 jam didalam bas dalam perjalanan dari Mina ke Mekah. Pada hal semasa berada di Mina tidak langsung mengahadapi masaalah penggunaan tandas seperti yang dialami oleh orang lain.

Ibu jari kaki yang luka dan pecah pula tiba-tiba sembuh semasa hendak bertolak ke Arafah hinggalah meninggalkan Mina pada hari ke 13. Kemudian apabila sampai semula ke Mekah luka itu terjadi semula. Ini sedikit sebanyak mengganggu kelancaran untuk membuat lain-lain ibadat sunat.

Apa yang terbayang di kepala ialah teringat kembali akan doa-doa yang dipanjatkan sebelum ini iaitu hanya memohon dapat mengerjakan fardhu haji dengan dengan mudah dan sempurna sahaja.

Oleh itu dalam menyusun doa kita hendaklah benar-benar diperhatikan maksudnya. Hendak meminta rezeki yang murah atau naik pangkat, rumah yang besar atau rumah yang lapang dan selesa, anak yang soleh atau anak yang pandai, isteri yang cantik atau isteri yang sejuk mata memandangnya.

Rasulullah saw meminta perlindungan dari Allah swt dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak mustajab.
وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِ وَالْكَافِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

Dan Dia (Allah) memperkenankan (doa) orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang saleh dan menambah (pahala) kepada mereka dari karunia-Nya. Dan orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang sangat keras. (As Syuuro – 26)

Tiada ulasan: