Sumpah Tuk Janggut?

Semakin berkembang sains kedoktoran perubatan semakin banyak penyakit yang muncul dengan pelbagai impak kesihatan kepada manusia yang sukar dirawati. Ini juga seiring dengan perkembangan rawatan secara tradisioanal.

Penulis pernah menyaksikan suatu peristiwa merawat seorang pesakit lelaki di Jalan Gasing Petaling Jaya. Seorang lelaki bertubuh sasa dan tidak ada apa-apa cacat celanya. Namun beliau datang untuk mendapatkan rawatan. Katanya dadanya pada sesuatu masa akan terasa amat sakit seperti terasa ada benda yang mencucuk. Beliau lebih rela dadanya ditikam dengan pisau daripada menahan kesakitan tersebut.

Kumpulan perawat ini pula dikatakan mahir dalam bidang berkaitan makhlus halus. Jin boleh ditangkap dan dimasukkan kedalam botol atau dipindahkan. Setelah semuanya bersedia untuk memulakan rawatan, tiba-tiba lelaki berkenaan bersuara dan cara duduknya juga berubah  daripada biasa.

Tanpa disedari, tubuhnya telah diserap oleh sesuatu makhluk. Makhluk ini mendakwa dirinya adalah Tuk Janggut. Kedua-dua tangannya seperti melurut janggutnya. Kadangkala diselangi dengan perbuatan menggobek sirih dan kepingan buah pinang.


"Tiada sesiapa yang boleh mengubati pemuda ini. Cucu ini adalah anak murid datuk yang handal. Dia diberikan sebilah pedang sebagai hadiah kemahirannya dalam bersilat." Demikian antara kata-kata makhluk berkenaan.

Lanjutan daripada perbualan dengannya, didapati pemuda ini adalah seorang murid persilatan yang baik dan diberikan sebilah pedang. Namun nasihat Tuk Janggut ketika itu ialah melarang pemuda ini menyalahgunakan pedangnya.

Bagaimanapun dalam satu pergaduhan yang melibatkan kawan-kawan pemuda ini dengan orang lain, beliau telah campur tangan dan terus menggunakan pedangnya. Kejadian ini telah menyalahi perjanjiannya dengan Tuk Janggut. Beliau dikatakan telah melanggar janji dan sumpah.

"Tiada siapa yang dapat mengubati pemuda ini, kerana ini adalah penyakit kesilapan beliau sendiri." Tegas lagi suara tersebut.

Namun demikian, usaha merawatnya diteruskan. Air penawar diberikan. Sembuh atau tidak adalah hak Allah swt. Pemuda ini juga telah menerangkan bahawa beliau telah banyak berusaha merawat dirinya namun tiada kesan yang positif.
لاَّ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِيَ أَيْمَانِكُمْ وَلَكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا كَسَبَتْ قُلُوبُكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja (untuk bersumpah) oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun. (Al Baqorah - ayat 225).

Tiada ulasan: