Jin Melepaskan Diri Dengan Memeluk Islam

Sebelum ini telah dipaparkan sebahagian dari kisah adek ipar penulis yang disihir selepas memeluk agama Islam. Dari gambaran mata kasarnya seolah-olah memeluk Islam itu akan memberikan mudharat kepada seseorang insan. Sebaliknya jin yang mengganggu beliau pula memilih Islam untuk selamat.

Semasa beliau sakit, pelbagai kaedah dicuba untuk merawatnya. Beberapa orang pakar rawatan tradisional Islam juga dipanggil untuk membantu. Namun sakitnya tidak sembuh sepenuhnya.

Walaupun jin yang menggangu keluar tetapi akan datang pula yang lain. Jumlah terkini yang sedang mengganggu adalah sebanyak 7 jin. Setelah gagal meminta mereka keluar secara paksaan, penulis cuba mengambil pendekatan memujuk.

Pada suatu malam penulis cuba berdialog dengan mereka untuk mengetahui apakah misi mereka sebenarnya. Ketujuh-tujuh jin ini adalah diarahkan oleh datuknya untuk mengembalikan pesakit kepada agama asalnya. Datuk mereka amat garang hingga cucu-cucunya terpaksa akur dan tunduk kepada arahannya.

Datuk mereka sanggup didera walaupun sehingga mati, asalkan matlamatnya tercapai. Oleh yang demikian ketujuh-tujuh jin ini juga berkeras untuk tidak keluar. Dalam sesi memujuk itu penulis bertanya kenapa mereka ingkar dan tidak mahu keluar. Mereka menjawab kerana takut kepada datuk mereka.

Penulis cuba memberikan jaminan iaitu ada satu jalan untuk kamu selamat dari datuk kamu, iaitu dengan kamu memeluk agama Islam. Suasana menjadi hening sebentar. Penulis meneruskan rayuan dengan menyatakan untuk memeluk Islam sangat mudah hanya memerlukan mengucap dua kalimah syahadah.

Mereka menyatakan tidak tahu mengucap, dan penulis terus memberi jaminan bahawa cukup sekadar kamu mengikut apa yang penulis sebutkan serta mengangguk setuju.

Penulis pula terfikir dalam hati, apa pula yang harus dilakukan selepas mereka memeluk Islam. Teringat dihati iaitu, sebelum ini penulis telah diberitahu oleh seorang kawan menyatakan iaitu sebuah Masjid Putih di Kuala Terengganu ada kakitanganya boleh menguasi jin dan mendidik mereka dalam hal agama Islam. Tanpa mendapatkan pengesahan, penulis yakin ini adalah satu jalan yang baik.

Setelah ada persetujuan dengan jin ini, penulis cuba meminta mereka mengucap satu demi satu sehingga yang ke tujuh. Setelah mengucap merekapun dengan mudah keluar dan penulis arahkan supaya ke Masjid Putih Kuala Terengganu.

Walaupun kesemuanya telah keluar namun tidak juga selesai masaalah pesakit ni. Tiba-tiba, datang pula satu lagi jin yang secara bersahaja masuk serta memberi salam. Penulis bertanya siapa dan kenapa? Jin ini menjawab dia jin Islam bernama nazrin, belajar di UKM. Dia minat dengan pesakit ini. Penulis menyatakan ini tidak boleh berlaku kerana pesakit ini sudah bersuami. Akhirnya dia keluar tetapi terus mengintai ruang untuk mendampingi pesakit berkenaan.

Demikianlah kehendak Allah, manusia yang sudah Islam tidak yakin dengan agamanya, sebaliknya Jin yakin, walaupun sekadar baru mengucap syahadah.

Penulis berharap kiranya benar ada kakitangan masjid tersebut yang boleh mendidik Jin Islam harap dapat usaha ini diteruskan dan terima 7 jin yang telah penulis hantar itu.

وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَراً مِّنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنصِتُوا فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَى قَوْمِهِم مُّنذِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Qur'an, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata: "Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)". Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. (Surah Al Ahqaaf -29)

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kisah yang menarik. Ustaz, selain menghantar ke Masjid Batu Putih.. mungkin dimasa mendatang boleh hantar mereka berjumpa Ustaz dikalangan Jin di Makkah. Rasanya lebih baik sebab keluarga mereka yang belum Islam mungkin akan mengugut utk mencederakan mereka. jika di Makkah, Jin bukan Islam memang tak boleh masuk. Wassalam

m ali berkata...

Terima kasih atas pandangan saudara. Sebenarnya hanya sekali dua sahaja saya menghantar jin ini ke Masjid Putih, kerana ada berlaku dia kembali semula kepada pesakit yang berkenaan. Selepas itu saya memang menghantarnya ke Mekah. Bagaimanapun sejak awal tahun ini dia akan keluar/lari sebelum dihantar ke Mekah. Saya tidak tahu kenapa, mungkin berlaku apa yg saudara sebutkan iaitu jin kafir tidak boleh masuk ke Mekah. Saya berniat supaya yg kafir itu diislamkan atau mendapat hukuman. Wallahu 'alam.

Unknown berkata...

Macam mana nak hantar jin ke mekah...ade bacaan bacaan tertentu?

m ali berkata...

Berhubung dengan makhluk halus, selain daripada menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran, perlu juga dibina tenaga dalaman melalui jurusan dan pernafasan. Lain guru lain kaedahnya untuk mencapai tenaga tersebut. Pokok perlu menuntut.