Percaya atau tidak, ia memang benar-benar berlaku, betul atau salah kefahaman datuk nenek dahulu Allah jua yang Maha Mengetahui. Setiap kejadian yang berlaku di muka bumi ini pasti ada hikmah disebaliknya.
Kisah yang akan dipaparkan ini mungkin tidak menepati kejadian atau sejarah yang sebenar. Penulis mendengar sendiri cerita ini dari arwah nenek yang disampaikan kepada anak cucu untuk dijadikan tauladan dan sempadan.
Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, serta Tanah Melayu sering dijajah oleh orang-orang barat, masyarakat Melayu yang hidup di pesisiran Sg. Perak hanya hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Untuk meneruskan kehidupan, ada yang sanggup jadi talibarut Jepun dan ada pula yang sanggup masuk ke hutan untuk menentang penjajah British. Sebahagian yang bernasib baik dapat jadi asykar British dan ada pula yang terus jadi Asykar Melayu.
Bagi penduduk di sekitar Mukim Lambor Kiri, banyak bergantung kepada rezeki di bendang, kebun getah atau di sungai. Semua sumber pencarian hidup ini adalah dalam skala yang kecil.
Dikalangan masyarakat Melayu di Lambor Kiri, Parit, Perak terdapat satu kisah yang sangat terkenal mengenai emas ikan tapah. Kisah ini berlaku kepada seorang pendatang yang bergelar Pak Kaduk yang hidup ditengah masyarakat yang gemar berjudi dan menyabung ayam.
Seperti juga maksiat yang lain, apabila mula menceburkan diri agak sukar untuk meninggalkannya. Habis semua harta yang ada terjual, bak kata orang tua-tua bergolok bergadai atau tinggal sehelai sepinggang.
Pada suatu hari, semasa mengenangkan hidupnya yang amat malang, beliau ternampak seekor kucing datang menuju kerumahnya sambil mengeluarkan suaranya seolah-olah mengajak beliau ke suatu tempat.
Ketika kucing tersebut menghampirinya serta menggesel-geselkan kakinya, ia terus berbunyi seolah-olah ingin menyatakan sesuatu. Pak Kaduk masih tidak memahami petunjuk yang terjadi dihadapannya. Kucing tersebut kemudian berjalan menuju kearah sungai.
Perbuatan ini diulang tiga kali, dan pada kali ketiga beliau terus mengekori kucing itu sehingga ke sungai. Alangkah terkejutnya apabila sampai di sungai beliau terlihat seekor ikan tapah besar terdampar di tebing sungai.
Pak Kaduk terus mengambil ikan tersebut yang didapati perutnya agak besar. Lantaran telah menjadi begitu miskin beliau tidak lagi mempunyai pisau untuk menyiang ikan tersebut. Hanya yang ada alat tuai padi yang terselit di atap rumahnya.
Alangkah terkejutnya apabila perut ikan itu dibedah, beliau dapati ada segumpal emas (kerosang baju) yang amat berharga, kira-kira boleh memberi sedikit kelegaan kepada kehidupannya. Ikan tersebut tidak dimakan dan dilepaskan kembali ke sungai setelah dijahit. Dalam keadaan yang amat gembira itu, beliau terus bersumpah dengan mengharamkan tujuh keturunannya dari memakan ikan tapah.
Sesiapa sahaja yang memakannya akan menerima salah satu dari dua akibatnya iaitu menjadi papa atau mendapat sakit gatal pada kulit. Alhamdulillah, bagaimanapun kesan sumpah ini boleh dibatalkan dengan meminum air rendaman emas yang diperolehi dari perut ikan tapah tersebut. Sehingga kini emas tersebut masih ada lagi di Lambor Kanan pada salah seorang keturunanya bernama Hjh Hasmah. Ramai juga yang telah meminum air rendaman emas tersebut termasuklah nenek penulis sendiri. (sebahagian daripada maklumat dan gambar di petik dari http://kgtua.tripod.com/)
لاَّ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِيَ أَيْمَانِكُمْ وَلَكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا كَسَبَتْ قُلُوبُكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ
Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja (untuk bersumpah) oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun (Al Baqorah -25)





10 comments:
lain kali google lah dahulu cerita ini kerana ia sebahagian daripada cerita orang melayu. janganlah diubah namanya jika tidak tahu, lakukan sedikit penyelidikan sebelum menulis, terima kasih
Terima kasih atas peringatan dan teguran saudara. Cerita ini adalah bualan mulut nenek sendiri yang juga pernah minum air emas tersebut.
Ini kisah legenda org Perak. Jadi kemungkinan ceritanya akan ada pelbagai versi bergantung kpd penyampainya dan cara penyampaiannya. Tidak semestinya cerita yg kita perolehi itu benar apabila versi yg kita perolehi itu berlainan drpd versi dari pihak yg lagi satu kerana tiada pengesahan dari mana2 pihak. Ada versi yg menyatakan istana itu terletak di mukim Lambor, tapi saya tidak pernah menemui dlm mana2 sejarah trdapat istana di Lambor. Cuma saya hanya ingin bertanya kpd penulis aakah emas itu sudah sediakala dlm bentuk keronsang atau dlm bentuk butiran semasa emas itu ditemui. Wallahu'alam.
Cerita yang saya terima ini memang benar dari nenek saya dan saya ada juga padankan dengan lain-lain maklumat dari sesawang yang lain. Dari mulut nenek saya ini hanya disebut segumpal emas, tetapi kawan saya sendiri yang pernah meminum airnya menyatakan seperti yang tertera dalam gambar tersebut. Samada sudah dicairkan dan di rekabentuk semula belum dipastikan.
"Cuma saya hanya ingin bertanya kpd penulis apakah emas itu sudah sediakala dlm bentuk keronsang atau dlm bentuk butiran semasa emas itu ditemui. Wallahu'alam."
Menjawab soalan saudara, saya telah mendapatkan kepastian daripada En. Jurid yg berasal dari Kg Tua lambor Kanan menyatakan bahawa, emas yg dijumapi dalam perut ikan tapah tersebut adalah dalam bentuk ketulan (raw material).
Ketulan emas tersebut telah ditempah menjadi seperti kerosang dalam gambar yg tertera. Ada juga yg dijadikan cincin dimana matanya seperti seekor ayam yg sedang mengepak. Ada juga cerita yg menarik apabila ada usaha menggadaikan emas ini.
Salam sejahtera,
Cerita ikan Tapah ni ada berbagai versi kerana diceritakan dari mulut kemulut tapi asasnya Tok Kadok dan Ikan Tapah serta kawasan Lambor Kanan dan Kiri. Emas berkenaan ditemui dalam bentuk yg belum siap serta terpaksa dibawa ke Siak/Kampar untuk ditempah sebagaimana rupa digambar blok ini dan blok-blok lain yg menceritakan kisah Sumpahan Tok kadok ini.
menarik le yeop!
Assalaamualaikum ashley, terima kasih. Kalau nak baca banyak cerita yg lebih menarik boleh lawati blog aisbatu tu.
best ler yop cite nii...hehe..benar x benar tu sume kuase ALLAH..teman oghang kuale kangsor...hehee...
cerita ini ada benarnya jugak.. kerana saya pernah dengar juga dari nenek moyang saya.. saya orang perak.. cerita pak kaduk menemui ikan tapah mmg betul..
Catat Ulasan