SAKA
Telah lama terfikir dibenak hati untuk membincangkan topik berkaitan SAKA. Ianya ditangguh begitu lama kerana kerana memikirkan topik ini menyentuh soal ghaib yang tidak mudah dibuktikan secara nyata.
Antara maksud saka ialah satu pemilikan atau warisan amal orang terdahulu yang menggunakan Jin bagi menyampaikan segala maksud dan hajat. Mereka menggunakan Jin dalam ilmu persilatan, rawatan dan perlindungan diri.
Bagi mereka yang menggunakan Jin ini banyak kehebatan yang luarbiasa berlaku kepada pengamalnya. Seperti boleh menyelam dalam air beberapa jam tanpa sebarang peralatan bantuan pernafasan, tenaga yang kuat, luka tikaman segera sembuh, boleh menghadirkan keris atau batu permata dengan mudah, boleh jadi bidan atau tukang urut dan pelbagai lagi yang banyak berlaku dalam masyarakat Melayu.
Apabila pengamal ini meninggal dunia maka apa yang terjadi ialah Jin ini akan terus menurun atau menumpang pada ahli keluarga samaada secara sedar atau tidak ataupun dia setuju ataupun tidak.
Jin ini akan hadir untuk membantu atau memberi perlindungan yang sama seperti dahulu. Ini berlaku kerana pengamal yang pertama sudah ada ikat janji atau syarat yang dikenakan.
Kebanyakan syaratnya ialah memberi makanan yang tertentu termasuk kaedah kenduri arwah dengan asap kemian dan teknik kenduri arwah yang khas.
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
"Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan."
- Surah Al-Jin ayat 6.
Yang menjadi masaalah ialah walaupun masyarakat zaman sekarang tidak lagi beramal dengan amalan tersebut, Jin ini akan terus mendekati keturunannya bagi memenuhi janji yang telah diikat.
Sebahagian daripada ahli keluarga menerimanya kerana terasa ada faedahnya dan ada juga yang menolak kerana terasa kesannya yang buruk.
Antara kesan sampingannya ialah halangan dan kesukaran untuk bersekolah, menuntut ilmu dan gangguan dalam perhubungan suami isteri.
Kebanyakan mereka yang ada saka ini akan mula mendapatkan rawatan ketikamana penyakit pada tubuhbadan sukar dikesan atau dirawat oleh pegawai perubatan.
Seperti janji Allah Subhanahu wata’ala, setiap penyakit ada ubatnya kecuali penyakit tua, maka Saka juga boleh dirawati dengan beberapa syarat seperti persetujuan asasnya ialah semua ahli keluarga bersetuju membuangnya.
Syarat kedua ialah kita bersetuju segala kelebihan yang diperolehi melalui bantuan saka ini tidak lagi akan dinikmati.

Tiada ulasan: