Manusia adalah insan yang sering dikaitkan sebagai makhluk yang sering lupa dan kerap melakukan kesilapan. Kesilapan pula dikaitkan sebagai batu loncatan untuk kemajuan selanjutnya.
Apakah kesilapan itu membawa kepada kemajuan atau terus tersasar hingga menyebabkan penderitaan sepanjang hayat. Semua ini bergantung kepada ilmu pengetahuan didada dan qado dan qadar Ilahi.(Gambar Al Quran Jin)
Kisah seterusnya hanya mereka yang berlapang dada sahaja boleh terus membacanya, kerana ia adalah cerita seharian dalam kehidupan dialam pekerjaan seharian di pejabat yang mungkin menyentuh perjalanan hidup anda.
Cerita ini dibawa ke pengetahuan pembaca sebagai panduan dan pedoman supaya kita tidak terus melakukan kesilapan hingga menyebabkan penderitaan, walaupun bukan kepada diri kita sendiri tetapi kepada pasangan hidup kita.
Kesilapan pertama yang sering berlaku dalam pemikiran manusia ialah "lelaki dibenarkan berkahwin empat". Maka ramailah yang memasang niat dan cuba mengintai-ngintai kalau ada wang dan peluang. Ayat AlQuran Surah An Nisa' ayat 3 sering dijadikan hujah untuk membenarkan tindakan sang suami.
Apa yang silapnya ialah apakah kita benar-benar memahami tafsiran ayat tersebut, dimana dalam ayat yang sama adalah pernyataan Allah menerangkan perlakuan adil terhadap anak yatim. Adakah berkahwin lebih dari satu itu sebagai suatu 'perintah' atau hanya 'kebenaran', dan adakah dia khusus berkahwin dengan golongan hamba dan anak yatim yang dijaga atau kepada mana-mana wanita?
Ramai dikalangan teman penulis sesudah berpeluang berkahwin dua, selepas itu memberi nasihat kepada orang lain supaya tidak berkahwin dua.
Kesilapan kedua ialah isteri sering dianggap sebagai 'pembantu' dan bukan sebagai 'teman' dalam rumah tangga. Isteri mesti patuh dan tunduk seratus peratus kepada kehendak suami sehingga isteri langsung tidak diberi peluang bersuara.
Kadangkala semua kerja-kerja dirumah diserahkan kepada isteri, urusan di dapor, urusan di sekolah dan urusan di pasar semuanya dibuat oleh isteri. Kononnya suami sudah cukup mencari wang untuk sara hidup. Lebih teruk lagi isteri pula diminta mengeluarkan sebahagian daripada perbelanjaan rumah bagi mereka yang bekerja.
Kesilapan ketiga pula ialah suami tidak dianggap sebagai ketua atau pemimpin dalam rumahtangga. Ketika menghadapi sebarang masaalah, si isteri terus merujuk kepada ibubapanya sahaja dan lebih teruk lagi kepada rakan-rakan yang tidak mendalami dan memahami seluk beluk rumahtangga. Kadangkala soal pulang berhariraya sahaja anak-anak terpaksa buat pilihan untuk ikut ibu atau bapa.
Kesilapan keempat pula ialah isteri atau suami sering buruk sangka. Kurangnya komunikasi secara terbuka dan banyak pula membuat andaian dan perasangka. Apa sahaja perkara yang dilihat pada pasangan sebagai luar dari biasa dianggap adanya sesuatu yang tidak kena.
Semua gejala di atas, sekiranya tidak ditangani dengan hikmah akan menyebabkan rumahtangga porak peranda. Maka mulalah orang ketiga berperanan menerajui nakhoda.
Surah Al Baqorah ayat 102 menerangkan bagaimana Allah menurunkan Malaikat Harut dan Marut yang mengajar sihir kepada manusia sebagai ujian, yang mana dengan sihir ini boleh mencerai beraikan antara suami dan isteri.
Sebagai manusia biasa penulis juga tidak terlepas dengan ujian ini. Hanya sedikit iman didada yang dapat menyelamatkan keadaan.
Dari pengalaman penulis yang ditemui oleh beberapa orang untuk meminta nasihat, inilah satu penyakit yang amat sukar diubati. Yang ramai sakit adalah para suami, tetapi yang datang meminta ubat adalah si isteri. Si suami tidak akan mahu berubat kerana mereka beranggapan sikap mereka normal, kerana perasaan cinta atau suka kepada orang lain selain isteri dianggap normal, kerana Islam membenarkan mereka berkahwin empat.
Inilah kesilapan kelima iatu perasaan cinta kepada orang lain dianggap biasa, sebaliknya isteri sendiri dibenci.
Penulis sendiri bernasib baik kerana membenarkan anak anak dan isteri mencarikan ubat walaupun meminta dirahsiakan. Rawatan diteruskan sehingga tidak kurang dari sembilan perawat tradisional dan perubatan Islam. Dalam satu kaedah rawatan yang dilalui, penulis diberikan sebuah Al Quran kecil yang kononnya diberikan oleh Jin Islam dari Istambul. Al Quran ini muncul dengan tiba-tiba didalam piring yang telah diisi biskut.
Bagi menjaga hati dan diikuti pula perasaan ingin tahu, penulis mengambil Al Quran tersebut, tetapi tidak mengamalkan seperti yang diminta.
Justeru itu penulis ingin menyampaikan sedikit nasihat iaitu suami isteri hendaklah belajar ilmu perkahwinan yang dituntut oleh agama dan juga ilmu seksologi. Inilah antara faktor yang terbesar menyebabkan pergolakan rumahtangga. Menceraikan isteri dan berkahwin dengan isteri orang adalah biasa.
Wanita pula sering terpedaya sehingga menjadi isteri kedua kemudian cuba menjadi juara. Semoga pembaca semua dan penulis sendiri sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah swt kearah menerajui keluarga yang bahagia.
3 ulasan:
Penulis yang hamba kasihi. hamba tertarik dengan isu ini. Ringkas sahaja coretan hamba.
Perkara ini berlaku bukan lah dialam nyata, tetapi hanyalah mimpi yang mungkin boleh dikatakan mainan tidur atau mungkin juga petunjuk Allah.
Suatu hari hamba bermimpi telah menikahi seorang wanita atas kerelaan isteri saya. Nafsu kelamin amat melonjak-lonjak. Mana taknya, isteri kedua putih dan cantik tak jauh dari kamar isteri pertama. Allah maha kuasa, entah kenapa hati yang sepatutnya gembira rupa2nya tidak sedemikian apabila menyedari bahawa aku telah kahwin dua. Hamba tatap isteri pertama diperaduannya. Beliau mengizinkan hamba pergi kepada isteri kedua. Alur matanya dan geraknya mengatakan Pergilah kepada Isteri kedua Abg itu. Ya Allah, tiba2 hati rasa sayu sangat dan berbagai2 perasaan muncul. "kenapa aku kahwin lagi ni? padahal aku amat menyayangi isteri pertama ku." "Apa kurangnya isteri pertama sampai aku sanggup pasang dua?". Rasa menyesal menyelubungi kalbu. Rasa sayu untuk tidur berasingan dengan isteri pertama menyelubungi hati. sesal, kesal... mula mencengkam perasaan. Tiba2.. argh aku mimpi rupanya. Lalu perasaan yang timbul dari mimpi adalah : Alhamdulillah..... aku tak kahwin dua rupanya. :-) Subhanallah, rupanya susah hati pulak kahwin dua...
Salam. Saya sangat bersetuju dengan apa yang dibincangkan.Memang payah untuk mendapatkan keserasian namun ruang tetap ada untuk sama-sama membaiki diri. Yang penting sentiasa boleh berterus-terang dan berbincang.Sifat ego lah yang selalu menyebabkan tiada ruang persefahaman.
Terima kasih diatas kedua-dua ulasan yang saya terima. Satu lagi perkara yang sang suami perlu faham rintihan isteri ialah; "Masa susah dengan saya, masa senang nak dengan orang lain pula". Sebagai suami, bukan saya nak napikan kepentingan berkahwin lebih dari satu. Memang ada yang perlu kawin lagi satu. Tapi cerita yang banyak saya terima jarang sekali yang ok.
Catat Ulasan