Perlembagaan telah memberikan ruang yang luas kepada rakyat Malaysia untuk menganut agama Islam. Namun secara praktisnya perkara ini kadangkala tidak berjalan dengan lancar. Sepatutnya agama Islam sebagai agama rasmi diberi keistimewaan pada perlaksanaannya dan penganutannya.
Kira-kira 20 tahun yang lalu seorang gadis remaja berbangsa cina dan berskirt datang ke rumah penulis menyatakan hasratnya hendak berkawin dengan adek penulis serta hendak memeluk agama Islam. Selain daripada nasihat-nasihat agama yang diberikan, penulis cuba meyakinkan dia bahawa sekiranya kamu memeluk agama Islam bukan ertinya kamu masuk Melayu.
Antara perkara yang menghalang orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam ialah, ketakutan mereka bertukar bangsa dan putus hubungan dengan keluarga. Penulis menapikan semua itu dan memberikannya beberapa panduan apabila ia sudah memeluk Islam nanti.
Proses pengislaman gadis ini dibuat secara sulit tanpa pengetahuan keluarga, dan tak mungkin boleh dilaksanakan sekiranya meminta persetujuan keluarganya. Bagaimanapun usaha ini telah dapat dihidu oleh keluarganya.
Seperti yang dijangka, pengislaman gadis ini telah mendapat tentangan yang hebat daripada keluarganya. Tiga hari selepas ia memeluk Islam, jiwanya terganggu, sering tidak sedar diri dan meracau-racau dan lebih berbahaya lagi ialah ia cuba untuk membunuh dirinya yang Islam itu.
Penulis dan adek penulis juga mendapat berbagai-bagai ancaman. Adek penulis diarahkan berpindah mengajar disekolah lain. Rumah penulis didatangi oleh ibubapanya dan juga beberapa orang yang tak dikenali, yang cuba menuduh penulis melakukan penculikan. Penulis membenarkan mereka masuk kerumah dan minta mereka bertanya sendiri kepada anaknya, namun mereka tidak berjaya kerana anaknya sendiri yang ingin memeluk agama Islam dan berkahwin dengan adek penulis.
Usaha pemulihan gangguan (sihir) kepada jiwanya diteruskan. Pelbagai cara diusahakan. Pengamal perubatan tradisional yang dikatakan memiliki kebatinan yang tinggi juga tidak dapat membantu dengan sempurna. Bahkan amalan yang dikatakan rawatan secara Islam pun tidak berjaya membantu dengan berkesan.
Penulis sendiri tidak lagi nampak jalannya yang boleh membantu beliau di Bandar Baru Bangi ini. Sehingga ada orang 'alim yang terkenal juga menasihatkan supaya gadis ini dipulangkan semula kepada ibubapanya. Penulis menolak cadangan ini dengan alasan bahawa dia sudah menjadi orang Islam.
Setelah lebihkurang dua minggu berlawan dengan serangan sihir tersebut, akhirnya penulis meminta adek penulis teruskan juga usaha walau dimana dia berada.
Mereka berpindah ke Selayang, secara kebetulannya kawasan tempat dia menyewa terdapat seseorang yang dikatakan boleh membantu.
"Yeop, bolehkah Mid berubat dengan orang ni? adek penulis bertanya melalui telefon.
"Kenapa pulak? " penulis menyoal kembali.
"Dia membuat rawatan secara tradisional Melayu" jawab adek penulis secara ringkas.
"Mid, kalau hendak berubat teruskan sahaja. Jangan bertanya atau menyelidikki cara seseorang itu salah ke atau syirik ke. Kalau hendak jadi syirik, berubat dengan doktor atau bergantung kepada panadolpun boleh jadi syirik" balas penulis.
Inilah kelaziman orang melayu, terlalu mudah melebelkan amalan seseorang itu syirik atau tidak tanpa memahami dan mendalami kaedah amalan seseorang itu.
Alhamdulillah dengan takdir Allah, penyakit isterinya beransur sembuh setelah dirawat selama kira-kira tiga bulan. (12 tahun kemudian beliau diserang semula, dan cerita yang lebih menarik akan disiarkan kemudian).
Kini keluarga adek penulis ini telah menjalani kehidupan rumahtangga yang bahagia. Anak lelakinya baru sahaja dihantar belajar ke Jordan. Anak perempuannya juga ada yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi. Hubungan dengan keluarga sebelah isterinya juga baik. Setiap kali Tahun Baru Cina beliau akan pulang menziarahi ibubapanya.Isterinya juga aktif dalam pendidikan anak-anak PASTI dan juga melibatkan diri dalam perniagaan HPA.
Dari berskirt pendek ke tudung labuh, dan terlihat juga kefahaman dan pengamalan Islamnya lebih baik dari sebahagian yang Islam melalui keturunan. Bagaimanapun inilah warna warni kehidupan, kejayaan yang diraihnya dicemburui oleh sebahagian dari teman-teman seperjuangan.
Dari pengalaman yang telah penulis lalui melalui kisah ini, didapati pengajarannya ialah sekiranya Allah hendak memberi hidayah kepada seseorang tiada siapa yang dapat menghalang. Kunci kejayaan juga ialah berasaskan keikhlasan dan kejujuran. Kesembuhan adalah dari Allah dan manusia hanya berusaha dengan apa cara sekalipun yang ia perolehi kecuali yang jelas haramnya dan akhirnya hendaklah diserahkan kepada Allah.
وَإِن يَمْسَسْكَ اللّهُ بِضُرٍّ فَلاَ كَاشِفَ لَهُ إِلاَّ هُوَ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدُيرٌ
"Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapapun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu" Surah Al-An 'aam ayat 17.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan