Asap Kemenyan dan Surah Al 'Alaq

Rawatan alternatif atau tradisional dalam masyarakat Melayu sentiasa berkembang dari dahulu hingga sekarang, seiring dengan perkembangan rawatan moden.

Bagi mereka yang sedang menghadapi sesuatu penyakit yang tidak dapat atau sukar dirawat melalui perubatan moden akan mencari jalan pilihan secara tradisional tanpa menilai apakah kaedah yang dijalankan itu menepati kehendak Islam atau sebaliknya.

Di Klang umpamanya, atau di beberapa tempat yang lain di Malaysia, terdapat satu kaedah rawatan penyakit melalui pembedahan menyamai apa yang dilakukan oleh seorang doktor perubatan. Pengamal ini menggunakan pisau bedah dan boleh disaksikan secara mata kasar.
Penulis ingin menukilkan satu kisah yang berlaku sekitar tahun 80an, disebuah tanah setinggan di Kuala Lumpur, dimana seorang wanita yang agak lanjut usianya, tetapi mampu menangani perempuan-perempuan yang ingin melahirkan anaknya di rumah.

Kepandaian wanita ini bukan hanya boleh menyambut bayi yang akan lahir tetapi juga boleh membetulkan kedudukan anak didalam perut yang songsang.

Apa yang menjadi luarbiasanya ialah setiap tahun wanita ini akan menjalani upacara khenduri tahlil seperti yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dahulu iaitu dalam majlis tahlil ini kemenyan akan dibakar.

Pada suatu hari wanita ini jatuh sakit dan seperti biasa apabila beliau menghidap sakit yang teruk khenduri tahlilpun akan dibuat. Namun demikian pada kali ini sakitnya tidak juga sembuh. Matanya mula menjadi kabur dan tidak boleh lagi untuk menjadi bidan.

Beliau memanggil penulis dan teman penulis dengan harapan boleh membantu menyelesaikan masaalahnya. Memang benar, agar sukar juga untuk mengenalpasti penyakitnya. Tiada unsur sakit biasa dan tidak juga berunsur sihir.

Setelah habis ikhtiar biasa, teman penulis cuba satu kaedah untuk berkomunikasi dengan makhluk di alam ghaib bagi mengenalpasti apakah unsur yang mengganggu wanita ini.

Dari pertanyaan yang telah diajukan, itulah kali pertama yang penulis temui dimana makhluk halus ini bukan dari kalangan Jin tetapi Ia adalah merupakan amalan seorang Panglima yang hidup di zaman Mahsuri. Amalan ini juga dikenali sebagai saka.

Sebagai ikhtiar untuk pemulihan, dengan nada rayuan, penulis cuba meminta supaya dia kembali ke tempat asalnya di Langkawi dan memutuskan hubungannya dengan wanita ini dan keluarganya . Hati rasa berdebar mendengar jawapannya.

Rupa-rupanya permintaan penulis memang ditunggu-tunggunya. Dia mendakwa hidupnya dialam kubur susah kerana tiada amalan yang membantunya. Semua amalannya di atas dunia dahului dibuat untuk mendapatkan faedah dunia sekalipun ia merupakan amalan-amalan menggunakan ayat suci AlQuran.

Tanpa berlengah lagi dia meminta tambang untuk kembali ke kuburnya di Langkawi. Penulis tergamam dan terkejut apakah bentuk tambang yang akan dimintanya.

“Apakah tambangnya?” penulis cuba memberanikan diri menyoalnya.

“Berikan saya satu bekas berisi kemian yang dibakar.” Dijawabnya dengan tegas.

Tanpa berlengah lagi, penulis menyediakannya seperti yang diminta. Setelah kemenyan yang sudah dibakar itu berada dihadapanyan, dia terus membaca Surah (Al ‘Alaq) اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ hingga akhirnya. Tidak lama selepas itu wanita tersebut meninggal dunia.

Melalui pengalaman ini ketika itu, penulis bertambah yakin dengan nasihat ulamak bahawa khenduri tahlil tidak perlu menggunakan kemenyan. Penulis sendiri telah menyaksikan bahawa kemenyan ini adalah sebagai suatu alat atau perantaraan makhluk-makhluk halus terutama dalam rawatan perdukunan dan juga amalan sebahagian persilatan Melayu. Hadis juga ada menyebut bahawa tulang dan asap adalah makanan bagi jin.

Firman Allah:
وَجَعَلُواْ لِلّهِ شُرَكَاء الْجِنَّ وَخَلَقَهُمْ وَخَرَقُواْ لَهُ بَنِينَ وَبَنَاتٍ بِغَيْرِ عِلْمٍ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يَصِفُونَ
"Dan mereka (orang-orang musyrik) menjadikan jin itu sekutu bagi Allah, padahal Allah-lah yang menciptakan jin-jin itu, dan mereka membohong (dengan mengatakan): "Bahwasanya Allah mempunyai anak laki-laki dan perempuan", tanpa (berdasar) ilmu pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka berikan." - (Al An'am: 100.)

Tiada ulasan: