Tujuh belas siri kursus anjuran LUTH dikuti sepenuhnya. Disamping itu penulis juga mengikuti kursus anjuran syarikat swasta sebanyak 16 siri dengan bayaran hanya RM50.00. Semua ini dilakukan dengan harapan supaya dapat menjalankan kerja-kerja haji dengan baik dan sempurna.
Semua peraturan dan program LUTH diikuti dan persiapan dibuat dengan rapi. Setelah wang dalam Tabong Haji dipotong, paspot diberi, serta jadual penerbangan diperolehi barulah penulis agak yakin sedikit peluang menunaikan haji pada tahun itu menjadi kenyataan. Menariknya, surat tawaran resmi hanya diterima melalui posmen pada hari hendak bertolak ke Kelana Jaya.
Bagaimanapun pengalaman yang ingin penulis sampaikan bukanlah perkara yang berkaitan dengan pengurusan LUTH. Pada tahun itu LUTH mendapat pujian dari aspek pengurusannya yang baik di Tanah Suci. Ini penulis akui berbanding pada Tahun 1999 memang ada banyak peningkatan dan penambahbaikkan yang dilakukan.
Sebelum bertolak ke Tanah Suci penulis sentiasa memanjatkan doa kepada Allah supaya dapat menunaikan haji dengan baik, mudah dan sempurna serta dengan cara yang diredhai oleh Allah. Kerisauan dihati adalah kerana ibu jari kaki penulis mendapat penyakit gatal (allergy) sehingga ada berlaku sedikit luka kecil akibat digaru dan geselan kasut. Ubat yang diambil dari kelinik di Malaysia dibawa ke Tanah Suci. Memang benar, luka kecil tadi tidak menampakkan tanda sembuh yang sempurna. Terasa sedikit kurang selesa untuk berjalan dan memakai kasut.
Alhamdulillah ibadat berjemaah di Masjidil haram dapat dilakukan walaupun tidak sekerap yang sepatutnya. Hari wukuf 9 Zulhijjah semakin hampir. Gatal pada ibu jari kaki tadi masih belum sembuh sepenuhnya. Pada 7 Zulhijjah penulis pergi ke klinik Tabong Haji untuk mendapat rawatan tambahan serta pandangan Guru Agama LUTH sebagai Pakar Rujuk Tabong Haji. Beliau menyatakan untuk mengelakkan habuk dan sebagainya, beliau menyarankan supaya ibu jari kaki dibalut dan ditutup.
Penulis merasa sedikit was-was dengan saranan beliau. Apa yang dipelajari selama ini semasa dalam ihram hujung jari kaki dan tumit tidak boleh ditutup. Penulis terus berdoa serta mencari jawapan yang sahih.
Subhanallah, tanpa diduga pada pagi 8 Zulhijjah luka tersebut kering, tidak perlu lagi disapu ubat atau dibalut. Perasaan gembira ketika itu tidak terkata. Penulis dapat menunaikan segala rukun dan wajib haji di Arafah. Muzdalifah, di Mina dan melontar di Jamrah serta tawaf Kaabah dan saie berjalan seperti biasa.
Namun demikian dengan kehendak Allah jua, setelah selesai semuanya, jari kaki tersebut luka kembali. Kenapa dan bagaimana ini berlaku.
Penulis merenung kembali doa dan harapan penulis. Rupa-rupanya doa penulis hanyalah memohon kepada Allah untuk menyempurnakan kerja kerja haji sahaja. Itulah yang Allah beri. Oleh itu berhati hatilah dalam kita berdoa supaya doa kita itu meliputi segala hal dan tidak hanya menjurus kepada sesuatu maksud sahaja. Sebab itulah doa yang terbaik ialah memohon kebaikan didunia dan di akhirat seperti yang kita baca semasa tawaf, ketika melepasi sudut Yamani.
"Robbana aatina fiddunya hasanah, wa fil aakhiroti hasanah, waqinaa azaabannar"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan